Wakil rakyat PKR bidas serbuan kedai buku, rampasan oleh KDN

Wakil rakyat PKR bidas serbuan kedai buku, rampasan oleh KDN

Lee Chean Chung berkata KDN tidak berhak merampas mana-mana penerbitan secara sewenang-wenang.

Ahli Parlimen Lee Chean Chung mendesak KDN menjalankan siasatan dalaman berhubung serbuan KDN ke atas sebuah kedai buku pada Jumaat.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat PKR mengkritik serbuan Kementerian Dalam Negeri terhadap sebuah kedai buku di ibu negara pada Jumaat, yang menyaksikan penguat kuasa merampas dua buku.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung menggesa KDN menjelaskan sebab-sebab bagi serbuan dan rampasan tersebut.

Terdahulu dilaporkan penguat kuasa merampas buku Marx Sang Pendidik Revolusioner oleh Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi oleh Benz Ali.

Lee menyifatkan serbuan itu keterlaluan dan di luar bidang kuasa undang-undang.

“KDN tidak berhak untuk memperuntukkan Seksyen 7(1) Akta Percetakan dan Penerbitan dan merampas mana-mana penerbitan secara sewenang-wenang yang dianggap tidak sesuai.

“Arahan menteri untuk mengharamkan mana-mana bahan cetakan atau penerbitan hanya sah selepas diwartakan,” katanya dalam kenyataan.

Lee berkata serbuan dan rampasan itu tidak sejajar dengan semangat Malaysia Madani, yang menurutnya menekankan penghormatan terhadap pandangan yang berbeza.

“Saya mendesak KDN untuk menjalankan siasatan dalaman dan membetulkan cara serta matlamat penguatkuasaan dengan segera,” katanya.

Malaysiakini melaporkan penguat kuasa daripada KDN menyerbu sebuah kedai di Wisma Central, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.