
Penolong Pengarah MSNT Nasree Najmi, berkata konsep “sukan patuh syariah” dan “fit is sunnah” telah dilaksanakan dalam penganjuran beberapa siri kejohanan Muay Thai di negeri itu sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
“Kerajaan negeri telah memberi beberapa garis panduan untuk diikuti dengan atlet boleh memakai seluar pendek tetapi mestilah memakai seluar ‘tights’ melebihi paras lutut dan berada di atas pusat.
“Sukan-sukan lain juga tidak terkecuali daripada prinsip sukan patuh syariah. Apa sahaja sukan yang ingin dilaksanakan, pihak mereka (penganjur) harus patuh kepada polisi kerajaan negeri,” katanya sambil menyatakan festival itu akan bermula 29 hingga 30 Sept.
Sementara itu, menurut Bernama petinju kelab Singamuda Kuda Merah polis, Muhammad Rafi Abdul Manaf berkata, konsep “sukan patuh syariah” tidak akan mengganggu prestasinya.
“Dengan mematuhi konsep ini, corak perlawanan saya tidak terjejas, (dan) saya tetap boleh mempamerkan aksi terbaik,” katanya yang lebih dikenali sebagai “Mat Ropi”.
Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu, Najmi Abdullah, berkata T-Fight Festival 2023 akan mengangkat imej kerajaan negeri yang komited dalam menjayakan industri pelancongan sukan.
Beliau berkata, T-Fight Festival juga akan cuba melakar sejarah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dengan melakukan persembahan seni mempertahankan diri selama 16 jam tanpa henti, yang turut melibatkan penggiat karate, wushu, taekwondo, silat, tinju, dan judo.
Penganjuran T-Fight Festival selama dua hari itu diharap mendapat sambutan menggalakkan dengan sasaran kehadiran antara 10,000 hingga 20,000 pengunjung.