Rampasan jam Swatch ikut undang-undang, kata Saifuddin

Rampasan jam Swatch ikut undang-undang, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata jam tangan siri 'Pride Collection' dirampas susulan aduan orang awam.

Antara 13 hingga 15 Mei, KDN dilaporkan menyerbu butik Swatch di Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah serta merampas jam tangan siri ‘Pride Collection’. (Gambar Swatch)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan merampas jam tangan siri “Pride Collection” Swatch pada Mei lalu, dan berkata ia dilakukan mengikut undang-undang.

Menurut Utusan Malaysia, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai punca kuasa yang jelas berhubung rampasan itu, tetapi beliau tidak menyatakan tindakan tersebut mengikut akta apa.

“Lebih penting ia (rampasan) dibuat berdasarkan aduan awam. Bagaimanapun, pihak syarikat mendapati ada isu pelanggaran dan mereka sudah pun membawa perkara itu ke mahkamah. Jadi biar kita selesaikan di situ (di mahkamah).

“Namun saya ingin tegaskan rampasan itu dibuat mengikut undang-undang dan menggunakan punca kuasa yang jelas,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Swatch Malaysia memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar tindakan kerajaan merampas 172 jam tangan antara 13 hingga 15 Mei lalu di 11 butik Swatch di Kuala Lumpur dan Selangor.

Swatch mendakwa rampasan itu tidak sah kerana aksesori berkenaan bukan ditakrifkan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, bawah akta itu istilah penerbitan terhad untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

“Jam tangan tersebut belum ditakrifkan sebagai penerbitan yang dilarang, oleh itu pegawai tidak mempunyai kuasa memasuki cawangan pemohon (Swatch Malaysia) untuk merampasnya,” katanya dalam permohonan kebenarannya.

Swatch Malaysia berkata, beberapa model antara 172 jam tangan yang dirampas dijual di Malaysia selama lebih setahun dan tiada notis aduan atau aduan mengenainya.

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Swatch Malaysia itu esok.

Awal bulan ini, KDN mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan berkaitan lesbian, gay, biseksual, transgender “queer” dan “plus” (LGBTQ+) pada jam jenama Swatch.

Individu yang melanggar perintah itu berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.