Penggabungan PDP-PSB mampu bawa perbalahan, kata pemimpin GPS

Penggabungan PDP-PSB mampu bawa perbalahan, kata pemimpin GPS

Seorang pemimpin GPS berkata, perbalahan mungkin berlaku pada tiga kerusi DUN dimenangi PSB, yang juga ditandingi parti komponen GPS.

PSB memegang tiga kerusi dalam DUN yang secara tradisi ditandingi ahli parti pemerintah Sarawak, GPS.
PETALING JAYA:
Cadangan penggabungan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mampu membawa kepada perbalahan dalam gabungan pemerintah Sarawak GPS pada pilihan raya akan datang, kata seorang pemimpin yang enggan dinamakan.

PDP pimpinan Tiong King Sing, adalah ahli GPS, manakala PSB diketuai Wong Soon Koh pula parti pembangkang yang menyokong GPS.

Walaupun keputusan dua parti itu bergabung tiada kaitan dengan GPS, “apa yang membimbangkan adalah ia mungkin membawa kepada isu lain kelak, terutamanya melibatkan kerusi,” kata pemimpin itu kepada FMT.

“Disebabkan itulah penggabungan ini perlu dibincangkan GPS dan diluluskan semua parti komponennya. Penggabungan itu tidak patut dibuat secara unilateral, tetapi PDP dan PSB nampaknya akan melakukannya secara unilateral.”

Beliau berkata, PSB mempunyai tiga kerusi DUN, iaitu Engkilili, Bawang Assan dan Ba’Kelalan yang secara tradisi ditandingi parti komponen GPS. Jika penggabungan itu berlaku, ini tidak bermakna parti baharu itu akan mewarisi hak bertanding di kerusi terbabit.

Bagaimanapun, beliau tetap melihat penggabungan seumpama itu sebagai perkembangan positif untuk GPS, sekalipun berpotensi menimbulkan masalah dari segi kerusi.

“Kami akan untung kerana ini bererti hampir tiada pembangkang. PSB adalah parti pembangkang utama di Sarawak. Satu-satunya isu yang perlu kami bincangkan kini cuma dari segi perincian.”

Kerusi Bawang Asan dan Engkilili secara tradisi ditandingi parti komponen GPS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, bekas parti Presiden PSB, Wong Soon Koh.

PSB dahulunya adalah Parti Rakyat Bersatu yang mesra GPS sehingga ia menyertai pembangkang pada 2019.

Ba’Kelalan secara tradisinya ditandingi PDP. Adun sekarang adalah Baru Bian dari PSB, bekas naib presiden PKR yang mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga.

Presiden PDP, Tiong King Sing sebelum ini berkata penggabungan dengan PSB akan dimuktamadkan pada Disember ini. Dua parti itu menandatangani memorandum persefahaman pada Julai lalu.

Snowdan Lawan, ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak yang juga komponen GPS berkata, penggabungan itu hanya antara PDP dan PSB buat masa ini, tetapi mesti dipersetujui semua komponen GPS.

PSB adalah blok pembangkang terbesar dalam DUN Sarawak, tetapi kini menyokong kerajaan negeri. Wong masih ketua pembangkang negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.