
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata buku berkenaan diambil untuk diteliti sekiranya terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan undang-undang, dan akan dipulangkan jika isi kandungannya tiada unsur-unsur yang boleh menjejaskan ketenteraman atau ketidakselesaan awam.
Terdahulu dilaporkan penguat kuasa merampas buku Marx Sang Pendidik Revolusioner oleh Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi oleh Benz Ali.
“Kita ambil, bukan rampas. Rampasan itu (bermakna) kita ambil satu kedai… ini dua naskhah saja… itu pun kita bertindak atas aduan orang awam,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian.
“Tujuannya untuk dilakukan penyelidikan, semakan, penelitian kalau isi kandungan (buku) bertentangan dengan aspek diperuntukkan dalam undang-undang (Seksyen 7(1) Akta Percetakan dan Penerbitan).”
Saifuddin menambah buku-buku yang diselidiki akan dikaji oleh panel pakar dengan teliti. “Kita tak terikat untuk satu tempoh masa… biar kajian itu betul-betul ‘lumat’, bukan sambil lewa.”
Dimaklumkan oleh pemberita bahawa pemilik kedai meminta bayaran bagi dua buku yang diambil itu, Saifuddin menjawab: “kalau macam itu hantar resit kepada kita.”
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan penguat kuasa daripada KDN menyerbu sebuah kedai di Wisma Central, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Hari ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung daripada PKR mengkritik serbuan KDN terhadap kedai buku terbabit, yang disifatkan sebagai keterlaluan.