
Beliau berkata, kerja penyediaan pusat penjagaan berkenaan di sebuah lokasi yang dikenal pasti giat dijalankan dan hanya beberapa penambahbaikan sedang dilaksanakan termasuk penyediaan logistik asas seperti bekalan air, elektrik serta tempat tidur.
“Kanak-kanak yang bakal dipindahkan itu kini berada di depot tahanan sementara Semenyih, Bukit Jalil dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)…mereka yang dipindahkan termasuk penjaga atau ibu bapa mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, inisiatif pusat penjagaan berkenaan dilaksanakan bawah Jabatan Imigresen dan Rela kerana melibatkan aspek kawalan dan penjagaan.
Saifuddin berkata, pelaksanaan projek itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang penambahan anggota kerana penugasan akan disesuaikan dalam kalangan pegawai sedia ada, serta melibatkan kos pelaksanaan minimum.
“Kami berharap langkah ini akan mendapat dukungan juga daripada masyarakat sivil yang lain,” katanya yang mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan untuk membantu terutama dari segi pendidikan.