PH juga pernah guna logo Hari Kebangsaan berbeza, kata KJ

PH juga pernah guna logo Hari Kebangsaan berbeza, kata KJ

Bekas ketua Pemuda Umno itu itu juga menyifatkan perbalahan mengenai logo dan tema Hari Kebangsaan antara PH dan PN sebagai "kebudak-budakan".

Khairy Jamaluddin berkata pada 2012 Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR dan DAP turut menggunakan slogan dan logo berbeza dengan kerajaan persekutuan yang ketika itu diterajui Najib Razak.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin menyifatkan perbalahan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza adalah sebagai “kebudak-budakan”.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata ‘isu pecah tema’ pernah berlaku pada 2012 ketika Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) mengeluarkan tema lain daripada yang diumumkan kerajaan persekutuan yang diterajui Najib Razak.

Katanya, perkara yang sama juga dilakukan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi negeri pembangkang pada tahun lepas.

“Dulu anda (PH) pun pernah buat. Dua-dua salah. Ini bukan tahun pertama kita berpecah sebab tema dan juga logo Kebangsaan,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Khairy turut menyelar tindakan kedua-dua pihak itu dan menyifatkan perbalahan mengenai isu slogan serta logo sambutan Hari Kebangsaan itu sebagai kebudak-budakan.

“Pakai apa sahaja yang dipakai kerajaan. Ada apa masalah,” katanya.

Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Pemuda PN pada Sabtu lalu, kemudiannya melancarkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkannya diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.

Susulan itu, beliau dibidas beberapa pihak, termasuk Persatuan Patriot Kebangsaan yang berkata, tema alternatif itu mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan selama beberapa dekad.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menyifatkan cadangan itu jumud, manakala Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata perbezaan itu hanya mewujudkan jurang serta suasana tidak bersatu padu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.