Hari Kebangsaan: Pemuda PN hormat keputusan Terengganu guna tema, logo Putrajaya

Hari Kebangsaan: Pemuda PN hormat keputusan Terengganu guna tema, logo Putrajaya

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkata tiada paksaan untuk menerima logo dan tema alternatif diperkenalkannya.

Sabtu lalu, Pemuda PN melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan yang akan digunakan komponen itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan kerajaan Terengganu menggunakan logo dan tema diperkenalkan Putrajaya bagi sambutan Hari Kebangsaan, berbanding cadangannya.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata tiada paksaan untuk menerima cadangan sayap itu yang melancarkan logo dan tema sendiri yang tujuan asalnya bagi digunakan untuk ucapan pimpinan komponen berkenaan, Sabtu lalu.

Logo itu berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang, Pemuda PN juga memperkenalkan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

“Terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing untuk menentukan.

“Segala keputusan tertakluk pimpinan negeri sungguhpun perkara itu telah dibincang bersama Majlis Tertinggi PN sebelum pengumuman dilakukan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata negeri itu akan menggunakan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” dan logo Malaysia Madani, bukan seperti dicadangkan Pemuda PN.

Pada Sabtu, Fadhli dipetik berkata Pemuda PN akan mencadangkan logo dan tema dilancarkan mereka Sabtu lalu diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.

Mengulas lanjut, Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata tindakan pihaknya memperkenalkan logo dan tema alternatif kerana mendakwa kerajaan pusat telah mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Walaupun perkataan itu satu perkataan yang baik (Malaysia Madani) tetapi ia telah dipolitikkan dalam kempen kepartian.

“Kalau hendak satukan rakyat di bawah satu tema, pilih yang lebih bersifat tengah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.