Waris 9 mangsa nahas pesawat tuntut jenazah

Waris 9 mangsa nahas pesawat tuntut jenazah

Waris dibenarkan menuntut jenazah hari ini selepas proses pengecaman berjaya diselesaikan sehari lebih awal.

Waris mangsa nahas pesawat terhempas Khamis lepas hadir di HTAR pagi ini untuk menuntut jenazah.
KLANG:
Jenazah sembilan mangsa nahas pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lepas sudah mula dituntut waris pagi ini.

Ini susulan proses pengecaman berjaya diselesaikan sehari lebih awal, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

“Semua proses itu dipermudahkan, inilah yang paling cepat kita boleh lakukan, sehari awal daripada yang kita jangka, (iaitu) pada Isnin.

“Kita selesai pada tengah malam semalam, pagi ini kita boleh serahkan jenazah kepada waris,” katanya pada sidang media di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Selepas dituntut waris, jenazah mula dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah untuk diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sementara itu, polis turut mengesahkan hanya 10 mangsa yang terlibat dengan nahas tersebut.

“Tiada lagi mana-mana individu lain yang terlibat, dalam nahas itu hanya 10 mangsa,” kata Hussein.

Berhubung perkembangan siasatan, Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini tiga orang pemilik kamera papan pemuka sudah tampil memberikan keterangan.

Semalam, jenazah mangsa pertama yang dikenal pasti, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, seorang penunggang p-panggilan, dituntut oleh warisnya dan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.