Rogol budak 12 tahun, 3 remaja mengaku tak salah

Rogol budak 12 tahun, 3 remaja mengaku tak salah

Setiap tertuduh dibenar ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh di Mahkamah Sesyen Muar atas dakwaan merogol kenalan perempuan berusia 12 tahun pada Julai dan minggu lalu.
PETALING JAYA:
Tiga remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan merogol seorang murid berusia 12 tahun, pada Julai dan minggu lalu.

Dua tertuduh yang berusia 18 tahun dan Muhammad Daniel Haikal Helmi Effero,20, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut Kosmo, dua remaja tersebut didakwa merogol mangsa di kebun sawit di Batu Pahat pada 11.30 malam, minggu lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan.

Daniel pula didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Batu Pahat pada 8.30 malam, pertengahan bulan lalu.

Daniel, lepasan sijil kemahiran didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala Aqmarul Aqil Ismail mewakili dua tertuduh remaja tersebut, namun hanya sebagai pro-bono untuk jaminan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.