Label 2 Adun pembangkang anti-Islam, MB Kelantan diberi 7 hari mohon maaf

Label 2 Adun pembangkang anti-Islam, MB Kelantan diberi 7 hari mohon maaf

Dua Adun pembangkang Kelantan mengugut akan menyaman Nassuruddin Daud, jika beliau tidak memohon maaf.

Syahbudin Hashim dan Hafidzah Mustakim berkata, menteri besar Kelantan perlu mengelak membuat kenyataan angkuh sedemikian kelak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud diberi tujuh hari untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya melabelkan dua Adun Barisan Nasional dan Pakatan Harapan anti-Islam.

Syahbudin Hashim (Adun Galas daripada BN) dan Dr Hafidzah Mustakim (Adun Kota Lama daripada PH) menyifatkan kuliah Jumaat Nassuruddin melampau serta ekstrem.

“Kegagalan membuat permohonan maaf secara terbuka ini mengundang susulan tindakan undang-undang, yakni kami akan memfailkan saman sivil di mahkamah,” kata Syahbudin dalam sidang media di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, kenyataan Nassuruddin yang bernada sinikal dan angkuh itu wajar dihindari kelak.

“Sebagai MB, sewajarnya beliau mengambil perpaduan dan penyatuan menjadi pilihan, berbanding tuduhan melulu serta menyemai benih-benih keliru.

“Saya mohon menteri agama, mufti serta alim ulama turut memberikan pandangan berkaitan kenyataan MB Kelantan.”

Syahbudin berkata, Nassuruddin membuat kenyataan sedemikian mengenai PH dan BN kerana tidak dapat “move on” selepas gagal memenangi semua kerusi DUN Kelantan.

Semalam, Nassuruddin dalam kuliah Jumaatnya berkata, Hafidzah daripada Amanah dan Syahbudin daripada Umno “menentang perjuangan Islam”.

Jurucakap Biro Undang-undang Amanah Kelantan, Hisham Fauzi dilaporkan berkata, PAS tidak mempunyai hak eksklusif terhadap perjuangan Islam.

Katanya, PAS “seolah-olah lupa” ia hanya mempunyai dua kerusi di DUN Kelantan pada 1978 dan tidak sepatutnya merendah-rendahkan wakil rakyat pembangkang “semata-mata kerana pendekatan Islam yang dibawa (mereka) tidak sama dengan pendekatan Islam PAS”.

Beliau berkata, PAS berpegang kepada “konsep klasik” pengkelasan orang bukan Islam kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam), yang tidak lagi praktikal pada zaman ini.

“Kami di Amanah pula melihat konsep ini perlu dinilai semula dan difahami mengikut perkembangan semasa, bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global, (seperti ) ditegaskan Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa pada Oktober 2019.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.