
Presiden Gerakan itu berkata, sambutan Hari Kebangsaan tidak patut dipolitikkan dan gabungan pembangkang itu tidak patut dilihat cuba berbuat demikian.
Katanya, beliau telah menyuarakan bantahan terhadap cadangan itu dalam mesyuarat pucuk pimpinan pusat PN.
“Fadhli membuat cadangan itu kerana kami lihat kerajaan persekutuan mempolitikkan tema (Hari Kebangsaan) dengan menggunakan istilah seperti ‘Madani’ dan ‘perpaduan’.
“Ia adalah (langkah) balas (Fadhli), tetapi dia tidak boleh buat apa-apa kerana bukan ketua menteri atau menteri besar,” katanya dalam sidang media di Teluk Kumbar di sini.
Lau turut membidas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang didakwanya mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan dengan menggunakan istilah “Madani” dan “perpaduan”.
Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.
Semalam, Pemuda PN melancarkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Fadhli berkata, logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkannya diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.
Susulan itu, beliau dibidas beberapa pihak, termasuk Persatuan Patriot Kebangsaan yang berkata, tema alternatif itu mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan selama beberapa dekad.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi menyifatkan cadangan itu jumud, manakala Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata perbezaan itu hanya mewujudkan jurang serta suasana tidak bersatu padu.