
Katanya, soal patriotisme seperti logo dan tema Hari Kebangsaan tidak patut dipolitikkan.
Beliau turut menasihatkan Fadhli tidak mempolitikkan semua perkara, termasuk sambutan Hari Kebangsaan.
“Dia ni gila ke apa?” soalnya menurut Utusan Malaysia ketika menghadiri Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 2023 di Putrajaya, hari ini.
“Ini bukan soal politik, sebaliknya soal bendera dan perayaan Hari Kebangsaan adalah agenda nasional. Jadi, saya fikir jangan dipolitikkan perkara ini.
“Saya fikir dia tidak layak jadi Ahli Parlimen, kalau sikapnya yang jumud (berfikiran sempit) begitu.”
Semalam, Pemuda PN memperkenalkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Fadhli berkata, logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkannya diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.
Beliau mendakwa rakyat boleh menerima “langkah politik” seperti dicerminkan pada PRN 12 Ogos lalu.
Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.