Anwar jamin dana, sokongan mencukupi tangani Islamofobia

Anwar jamin dana, sokongan mencukupi tangani Islamofobia

Perdana menteri berkata, umat Islam perlu lebih memahami al-Quran untuk menjelaskan Islam kepada rakyat Malaysia lain.

Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan memberi jaminan akan menyediakan dana dan sokongan mencukupi bagi menangani Islamofobia dengan meningkatkan kefahaman mengenai Islam.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata Islamofobia terbukti mewujudkan penjajahan imperialisme dan menyekat kemaraan Islam.

“Kita mampu sekiranya kita bersatu, kita mampu sekiranya kita memberikan tekad usaha yang lebih untuk memahami al-Quran, baca dan berikan penjelasan, pencerahan tentang apa maksud Islam dalam negara pelbagai kaum, pelbagai agama.

“Saya mengulangi di negara ini, Islam adalah agama persekutuan, saya akan terus mempertahankan akidah, menyebarkan Islam dan menyediakan peruntukan dan sokongan mencukupi untuk latihan, pemahaman serta melaksanakan program Islam dan pembaharuan Islam,” katanya menurut Utusan Malaysia ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

Anwar turut memberi jaminan kerajaannya akan terus memastikan kesejahteraan orang bukan Islam.

“Negara ini akan melindungi hak setiap warganegara, termasuk yang bukan Islam (sama ada penganut) Kristian, Hindu atau Buddha.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.