Agong memandu di Sabah bulan depan, guna laluan pengguna biasa

Agong memandu di Sabah bulan depan, guna laluan pengguna biasa

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan menyertai Jelajah Kembara Borneo bermula 3 September depan.

Pakej 15 iaitu naik taraf jalan dari Tawau-Semporna antara laluan yang telah siap di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan merasai sendiri pengalaman memandu di Sabah pada bulan depan, yang keadaan jalan rayanya sering dikritik kerana permukaannya berlubang-lubang.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata baginda akan melalui laluan digunakan orang ramai menerusi Jelajah Kembara Borneo bermula 3 September depan.

Menurutnya, ia juga membabitkan beberapa laluan di Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari Tawau ke Kuching, Sarawak untuk meninjau perkembangan projek berkenaan.

“Kita difahamkan itulah tujuan utamanya, Agong tahu projek ini belum siap jadi, (jelajah itu) untuk lihat di mana-mana sepanjang jalan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.

“Di Sarawak boleh dikatakan siap 97 peratus cuma di Sabah bermula agak lewat iaitu pada 2016, Sarawak bermula pada 2015. Jadi, banyak lagi isu-isu yang memberi kesan kepada kelewatan pelaksanaan pakej-pakej di Sabah,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas melawat projek LPB di Papar.

Pada 12 Feb lalu, Agong menyuarakan hasrat untuk memandu menelusuri LPB yang sebahagiannya masih dalam pembinaan.

Ahli Parlimen Tuaran Madius Tangau menarik perhatian Dewan Rakyat pada 20 Mac lalu apabila secara berseloroh menyarankan rakyat yang mahu merasai pengalaman seorang angkasawan berada di bulan boleh ke negeri itu dengan memandu sendiri kenderaan.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika meluahkan rasa tidak puas dengan keadaan jalan raya di Sabah yang tidak diselenggara dengan baik apabila permukaannya berlubang-lubang.

“Sekiranya ada yang ingin menjadi angkasawan, jangan risau semua kini jadi lebih mudah.

“Anda hanya perlu datang sendiri dan memandu kereta di Sabah, pengalamannya sama seperti berada di permukaan bulan dengan jalan raya berlubang tepi, kiri, kanan dan belakang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.