2 maut kereta rempuh tiang elektrik

2 maut kereta rempuh tiang elektrik

Seorang lagi mangsa cedera parah selepas kenderaan tersebut dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di hadapan sebuah kilang di Ipoh.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh menggunakan peralatan bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah setelah kenderaan dinaiki mereka merempuh tiang elektrik di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, awal pagi tadi.

Astro Awani melaporkan, kereta jenis Proton Waja yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai terbabas lalu merempuh tiang elektrik di hadapan sebuah kilang.

Pengarah Bomba Perak Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 2.17 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi.

Ketiga-tiga mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu didapati tersepit dalam kenderaan berkenaan, tambahnya.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta telah terbabas dan melanggar tiang elektrik.

“Anggota bomba menggunakan peralatan bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit,” kata Sayani.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala mangsa yang cedera parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Mahir Mat Saad itu tamat pada 4.30 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.