
“Jika berlaku hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan beta dan mendapatkan nasihat beta jika perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan badan perundangan,” katanya menurut Bernama ketika Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-172 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin berkata, isu 3R yang semakin disensasi dan dipolitikkan kebelakangan ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kestabilan negara termasuk usaha pembangunan serta ekonomi.
Katanya, usaha menghindarkan perkara itu daripada berlarutan wajib dirintis dengan langkah tegas perlu dilaksanakan.
“Ahli-Ahli Dewan Negara dan Orang Besar Jajahan hendaklah berperanan proaktif membantu usaha-usaha preventif dan usaha-usaha membendung.
“Orang-Orang Besar Jajahan terutamanya hendaklah mendampingi jawatankuasa dan pegawai masjid, sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing, berusaha ke arah menyatupadukan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Sultan Nazrin berkata sekolah berperanan penting untuk menyemaikan semangat perpaduan serta kesetiaan kepada raja dan negara.
“Pada malam ini, beta dan Raja Permaisuri, Raja Muda dan Raja Dihilir akan berangkat bercemar duli ke acara kemuncak Program Menyemai Semangat Kesetiaan kepada Raja dan Negara di bawah kelolaan bersama Dewan Negara Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri dengan pembiayaan dan sokongan kerajaan beta.
“Program tersebut mendapat sambutan baik daripada para pelajar.
“Orang-Orang Besar Jajahan juga hendaklah mendampingi diri dengan warga pendidik dan memberi masa menghadiri program-program kokurikulum di sekolah-sekolah, membantu usaha-usaha menyemaikan semangat kesetiaan kepada raja dan negara, di samping membantu usaha-usaha memupuk perpaduan kaum,” kata baginda.