Selepas kalah teruk, apa langkah seterusnya bagi Muda?

Selepas kalah teruk, apa langkah seterusnya bagi Muda?

Penganalisis Azmi Hassan berkata, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu perlu melupakan hasrat menjadi kuasa ketiga dalam politik Malaysia.

Muda kalah di semua 19 kerusi DUN yang ditandinginya dalam PRN Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu pada 12 Ogos lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik menggesa Muda mengetepikan hasrat menjadi kuasa ketiga dalam politik Malaysia susulan kekalahannya dalam PRN enam negeri minggu lalu.

“Saya rasa Muda menunjukkan mereka boleh menjadi pengacau sangat kejam di kerusi berlaku saingan sengit antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional.

“Muda akan menarik pengundi yang akan mengundi PH, tetapi bukan PN kerana demografi pengundi mereka berbeza sama sekali.

“Pengundi Muda sama dengan pengundi PH, jadi apabila Muda bersama PH (dalam sebuah kawasan), ia akan menarik undi daripada PH. Akhirnya, PH yang kalah, bukan Muda,” kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.

Tetapi katanya, parti politik tidak boleh bercita-cita untuk menjadi perosak.

Dalam PRN Sabtu lalu, Muda yang ditubuhkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada September 2020, tewas di semua 19 kerusi DUN ditandinginya di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Azmi berkata, daripada menjadi kuasa ketiga, Muda perlu berusaha menyertai PH.

Sebagai alternatif, ia boleh berusaha untuk bergabung dengan PKR atau DAP, seperti dicadangkan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Muda memutuskan bertanding solo dalam PRN 12 Ogos lalu, walaupun merupakan sebahagian daripada blok kerajaan di Dewan Rakyat.

Keputusan parti itu dikritik ahli DAP dan PKR yang berkata, tindakan itu hanya akan memecahkan undi yang memanfaatkan PN.

Azmi berkata, penggabungan dengan DAP akan menguntungkan kedua-dua parti, meremajakan imej DAP dan meningkatkan kelayakannya menjadi parti berbilang kaum.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Muda perlu belajar daripada pengalaman DAP dan PKR, yang pernah menjadi parti pembangkang.

“Walaupun Muda berbangga dengan imej politiknya yang segar dan muda, ia perlu belajar cara bertahan dalam belantara politik daripada parti lama seperti DAP dan PKR.

“Ini termasuk mesej politik berterusan dan konsisten, selain menjalin hubungan hubungan lebih baik dengan akar umbi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, cadangan penggabungan itu ada kebaikannya, tetapi ia tidak perlu untuk DAP.

“Di peringkat makropolitik, ia idea logik kerana Muda menarik kumpulan penyokong hampir sama dengan DAP, tetapi tidak mempunyai jentera parti seperti DAP.

“Jadi, Muda adalah satu kelebihan, tetapi bukan kemestian untuk DAP.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.