
Jurucakap biro undang-undang Amanah Kelantan Hisham Fauzi berkata, PAS tidak mempunyai hak eksklusif terhadap perjuangan Islam.
“Saya mendesak dengan tegas agar tuduhan dan label penentang perjuangan Islam ini ditarik balik dan MB Kelantan memohon maaf kepada kedua-dua wakil rakyat pembangkang itu.
“Islam bukan milik eksklusif PAS. Ia milik keseluruhan umat Islam seluruh dunia,” katanya di Facebook.
Dalam khutbah Jumaat diberikannya semalam, Nassuruddin berkata, Hafidzah Mustakim daripada Amanah dan Syahbudin Hashim daripada Umno, masing-masing Adun Kota Lama dan Galas, anti-Islam.
Hisham berkata, PAS “seolah-olah lupa” bahawa ia juga pernah hanya ada dua kerusi di Kelantan pada 1978, dan tidak sepatutnya merendah-rendahkan wakil rakyat pembangkang “semata-mata kerana pendekatan Islam yang dibawa (mereka) tidak sama dengan pendekatan Islam PAS”.
Tambahnya, PAS berpegang kepada “konsep klasik” pengkelasan orang bukan Islam kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam), yang tidak lagi praktikal pada zaman ini.
“Kami di Amanah pula melihat konsep ini perlu dinilai semula dan difahami mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global, (seperti yang) ditegaskan oleh Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa pada Oktober 2019,” katanya.