Bakar al-Quran: Kedutaan Malaysia di Sweden keluar amaran perjalanan

Bakar al-Quran: Kedutaan Malaysia di Sweden keluar amaran perjalanan

Ia selepas Perkhidmatan Keselamatan Sweden menaikkan 'tahap ancaman keganasan' kepada peringkat tinggi, iaitu keempat daripada lima tahap, buat julung kali sejak 2016.

Rakyat Malaysia dinasihatkan mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Stockholm bagi memudahkan perkhidmatan komunikasi dan konsular. (Gambar MFA)
KUALA LUMPUR:
Kedutaan Malaysia di Sweden mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyat Malaysia yang tinggal atau melawat negara itu sebagai tindak balas terhadap peningkatan amaran keganasan ke tahap kedua tertinggi baru-baru ini.

Keputusan itu susulan rentetan penghinaan umum terhadap al-Quran, yang mencetuskan protes di pelbagai negara Islam dan ancaman daripada kumpulan militan.

Kedutaan itu melalui Twitternya menasihatkan rakyat Malaysia berhati-hati sepanjang masa. Sekiranya berlaku kecemasan, mereka diminta menghubungi talian 112 untuk mendapatkan bantuan.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Stockholm bagi memudahkan perkhidmatan komunikasi dan konsular.”

Kedutaan Besar Malaysia di Sweden terletak di Karlavagen 37, 114 31 Stockholm dan boleh dihubungi melalui + 46 8440 8400/+46 73 536 9152 atau e-mel kepada [email protected].

Media antarabangsa melaporkan Perkhidmatan Keselamatan Sweden, yang dikenali sebagai SAPO, menaikkan “tahap ancaman keganasan” kepada peringkat tinggi, iaitu keempat daripada lima tahap, buat julung kali sejak 2016.

Tindakan itu mencerminkan kebimbangan Sweden terhadap pembakaran al-Quran secara berulang tahun ini oleh segelintir aktivis anti-Islam yang menjadikan negara Scandinavia itu sasaran utama pelampau Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.