
Takiyuddin Ismail dan Azwan Abd Rahman berkata, pendekatan “satu saiz untuk semua” dicadangkan Ahli Parlimen Subang Wong Chen tidak akan berjaya disebabkan lanskap politik berbeza di seluruh negara.
“Setiap negeri mempunyai sejarah, latar belakang, keperluan dan orientasi sendiri.
“Ini yang menjadikan politik Malaysia menarik, di mana parti perlu tampil dengan model berbeza bagi setiap negeri,” kata Takiyuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia kepada FMT.
Beliau berkata, Wong tidak patut menyatakan kejayaan gabungan perpaduan di Negeri Sembilan secara berlebih-lebihan kerana 10 daripada 31 kerusi dimenangi PH-BN dengan majoriti kurang 700 undi.
Daripada 245 kerusi dipertandingkan di enam negeri Sabtu lalu, 146 kerusi dimenangi PN, bakinya dimenangi PH-BN.
Tetapi, PN tidak menunjukkan prestasi baik di Negeri Sembilan seperti di lima negeri lain kerana PH-BN berjaya mendapat majoriti dua pertiga.
Susulan keputusan itu, Wong menggesa “model PH-BN di Negeri Sembilan” digunakan.
Namun, PN mencapai sedikit kemajuan dengan memenangi lima kerusi di Negeri Sembilan, dengan tiga daripadanya dimenangi PAS. Pada PRU 2018, parti Islam itu gagal memenangi sebarang kerusi DUN di negeri itu.
Azwan daripada badan pemikir Naratif Malaysia berkata kempen PH-BN di Negeri Sembilan memfokuskan usaha mempromosi Rukun Negara dan prinsip asas Perlembagaan, membolehkan “pengharmonian ideologi” dan perdamaian antara akar umbi BN serta DAP.
Katanya, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, yang berjaya mempertahankan kerusi Chennah, secara konsisten menyentuh dua perkara ini serta kedudukan istimewa orang Melayu ketika berucap di ceramah.
“Beliau cuba mencari titik penumpuan bagi memastikan terdapat perpaduan (antara PH dan BN).”
Bagaimanapun, Azwan berkata model sama mungkin tidak banyak memberi impak di Kedah, Terengganu dan Kelantan disebabkan sentimen etnosentrik tersebar luas di sana.
Katanya, pendekatan itu hanya boleh berjaya di kawasan mempunyai celik politik tinggi.
“Itu sebabnya penginstitusian pendidikan politik kunci untuk memerangi sentimen sedemikian kerana terbukti celik politik sangat rendah di negeri berkenaan.”
Pun begitu, beliau berkata satu aspek utama boleh digunakan di negeri lain ialah menggembleng akar umbi untuk mendorong “pengharmonian ideologi” PH-BN.
“Ia hanya boleh dilakukan pemimpin akar umbi, bukannya pemimpin tertinggi. (Pengerusi PH) Anwar Ibrahim cuba lakukan ini di Kedah, Kelantan serta Terengganu, tetapi gagal.”