
Hakim Anand Ponnudurai menetapkan tarikh itu selepas prosiding klarifikasi kes saman tersebut oleh kedua-dua pihak.
“Mahkamah menetapkan keputusan kes saman ini pada 13 Okt, pukul 3 petang secara fizikal,” katanya.
Prosiding hari ini dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Asliza Ali yang mewakili kerajaan manakala peguam K Kirubakaran mewakili 11 defendan.
Dalam saman itu, kerajaan selaku plaintif menamakan NFCorp sebagai defendan pertama, manakala Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil, serta tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan kedua hingga kelima.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah enam syarikat dikawal keluarga Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.
Perbicaraan itu bermula 2021, dengan plaintif mengemukakan tujuh saksi antaranya bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir manakala defendan memanggil lima saksi termasuk Salleh untuk memberi keterangan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Dis 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi NFC Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.
Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.