
Dalam PRN di Pulau Pinang pada 12 Ogos lalu, hanya dua calon Umno yang menang iaitu Reezal Merican Naina Merican di Bertam dan Rashidi Zinol di Sungai Acheh.
Ketua Umno Permatang Pauh Zaidi Said berkata keputusan tidak mencalonkan wakil parti itu untuk jawatan timbalan ketua menteri adalah adil memandangkan prestasi buruk BN dalam pilihan raya itu.
“Jawatan timbalan ketua menteri I dan II biasanya diberikan kepada PKR dan DAP. Kami perlu menghormati keputusan itu,” katanya.
Kata Zaidi, beliau menjangkakan Umno dipertimbangkan ke jawatan itu pada masa depan sekiranya parti itu berjaya mendapatkan semula kepercayaan pengundi Melayu.
Bagaimanapun, Zaidi kecewa apabila Reezal yang dianggapnya sebagai “pemimpin Umno terbaik di Pulau Pinang” dan antara paling berpengalaman dalam kerajaan, tidak dilantik sebagai anggota exco.
Reezal pernah berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan, dan juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan di dua pentadbiran persekutuan sebelum ini.
Ketua Umno Jelutong Razak Rahman juga kecewa Reezal tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan negeri. Katanya, ahli akar umbi “kecewa” dengan keputusan itu.
“Bagaimanapun, kita mesti menghormati keputusan kerajaan negeri itu,” katanya.