Penduduk dengar bunyi letupan kuat, nampak asap menjulang tinggi

Penduduk dengar bunyi letupan kuat, nampak asap menjulang tinggi

Suri rumah Nur Alia Nordin antara orang pertama yang tiba di lokasi selepas mendengar bunyi letupan kuat.

Pesawat jenis Beechcraft Model 390 milik Jetvalet Sdn Bhd, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang sebelum terhempas kira-kira 3 petang.
SHAH ALAM:
Seorang suri rumah, Nur Alia Nordin sedang berehat sambil menonton televisyen sebelum terkejut apabila terdengar bunyi letupan yang kuat.

“Bunyinya sangat kuat seperti mercun meletup di sebelah telinga saya.

“Saya segera keluar dari rumah dan melihat asap tebal menjulang di langit,” katanya kepada FMT ketika ditemui berhampiran lokasi nahas.

Wanita berusia 28 tahun bersama suaminya segera ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 3km. Setibanya di lokasi kejadian mereka terkejut melihat sebuah kapal terbang terhempas di Lebuhraya Guthrie.

“Kami antara orang pertama yang tiba di lokasi kejadian. Kami tidak berani untuk datang lebih dekat kerana takut mungkin berlaku letupan lagi,” katanya.

Pesawat milik Jetvalet Sdn Bhd, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang sebelum terhempas di lebuh raya itu berhampiran kawasan perumahan Elmina kira-kira 3 petang.

Exco Pahang Johari Harun antara enam penumpang terkorban selain dua kru pesawat. Seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal juga dilaporkan terbunuh akibat terkena serpihan pesawat.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Asyraf, 24, berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas melihat asap tebal.

“Saya mahu keluar untuk makan sebelum melihat asap tebal, saya terus datang ke sini,” katanya yang memberitahu dia tidak mendengar bunyi letupan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.