Nahas pesawat: Penyiasat temukan perakam suara kokpit

Nahas pesawat: Penyiasat temukan perakam suara kokpit

Perakam suara itu, salah satu komponen kotak hitam, ditemukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, menurut polis.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pasukan penyiasat turut sedang mengesan perakam data penerbangan pesawat tersebut.
SHAH ALAM:
Polis mengesahkan bahawa pasukan penyiasat sudah menemukan perakam suara kokpit pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam petang tadi.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, perakam suara itu, salah satu komponen kotak hitam, ditemukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara.

Perakam suara itu telah dibawa ke makmal untuk dianalisis, tambahnya.

Apabila ditanya berapa lama masa diperlukan untuk melengkapkan analisis tersebut, Hussein berkata: “Itu saya tak boleh jawab.”

“Itu bergantung kepada Bahagian Siasatan Kemalangan Udara,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Sementara itu, berhubung kemungkinan pesawat itu mengalami kerosakan enjin, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat pihak berkaitan.

Kata Hussein lagi, ketika ini pasukan penyiasat sedang mengesan perakam data penerbangan pesawat tersebut.

Petang tadi, pesawat yang membawa lapan orang, termasuk dua kru, terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bandar Elmina.

Nahas tersebut mengorbankan juruterbang pesawat dan pembantunya, enam penumpang termasuk Exco Pahang Johari Harun serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.