Agong, permaisuri dukacita, zahir ucapan takziah

Agong, permaisuri dukacita, zahir ucapan takziah

Baginda berdua juga berharap agar seluruh keluarga mangsa pesawat terhempas sabar dan tabah menghadapi dugaan itu.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika melawat lokasi pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam petang tadi.
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga exco Pahang Johari Harun dan sembilan lagi mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor petang tadi.

Turut menzahirkan ucapan sama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mengejut semua mangsa.

“Seri Paduka berdua berharap agar seluruh keluarga mangsa yang terlibat sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini, dan mendoakan agar mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Istana Negara turut memaklumkan Allahyarham Johari merupakan rakan akrab Seri Paduka berdua.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai sumbangan Johari kepada Pahang terutama dalam memperjuangkan masyarakat desa serta luar bandar dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada negeri itu dan pasangan diraja berkenaan.

Johari merupakan Adun Pelangai di Parlimen Bentong serta exco perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau negeri.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengesahkan bahawa beliau berada dalam senarai penumpang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam.

Turut tersenarai dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.