
Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, empat pegawai forensik terlibat ialah kakitangan hospital berkenaan, manakala bakinya dari hospital berhampiran.
“Ia melibatkan pakar forensik, pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, pemerhatian Bernama di Jabatan Forensik HTAR mendapati pengamal media mula berkumpul di perkarangan jabatan berkenaan sejak 6 petang tadi.
Para petugas dan pengawal keselamatan hospital juga dilihat melakukan persiapan awal bagi bedah siasat mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan.
Beberapa khemah kecil turut didirikan di kawasan tempat letak kereta jabatan tersebut dan sekitar 7 malam tadi, dan sebuah pacuan empat roda membawa empat anggota polis tiba bagi tujuan keselamatan.
Terdahulu, polis mengesahkan 10 orang termasuk dua krew penerbangan dan enam penumpang terkorban dalam nahas pesawat tersebut.
Antara yang terkorban termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Johari Harun, yang juga Adun Pelangai.
Pesawat malang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Dua daripada mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.