Pekerja maut ditimbus simen mampat

Pekerja maut ditimbus simen mampat

Mangsa berusia 26 tahun ditimbus bahan itu ketika memecahkan simen keras pada 'manhole' bagi kerja pembersihan silo.

Seorang pekerja asing meninggal dunia ketika melakukan kerja pembersihan silo di sebuah kilang simen di Hulu Kinta. (Gambar JKKP Perak)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja asing maut ditimbus serbuk simen mampat ketika menjalankan kerja di sebuah kilang penghasilan simen di mukim Hulu Kinta, Perak.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, berkata mangsa berusia 26 tahun ditimbus apabila sedang memecahkan simen keras pada “manhole”, kira-kira 3.15 petang, Isnin lalu.

Siasatan mendapati mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat kontraktor dilantik bagi kerja pembersihan silo kilang berkenaan.

Memetik Harian Metro, mangsa bersama dua lagi rakan sekerja sedang memecahkan simen keras pada “manhole” menggunakan tukul dan rod besi, sebelum simen berada dalam silo kemudiannya tersembur keluar melalui “manhole” terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan ditimbus oleh simen mampat itu. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan, namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” kata laporan itu.

Susulan kejadian, JKKP mengeluarkan notis larangan kepada majikan bagi menghentikan kerja pembersihan silo sehingga tindakan penambahbaikan diambil pihak majikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.