Jagdeep TKM II Pulau Pinang, Reezal tiada dalam senarai exco

Jagdeep TKM II Pulau Pinang, Reezal tiada dalam senarai exco

Adun Sungai Acheh dari Barisan Nasional, Rashidi Zinol, adalah wakil tunggal gabungan itu dalam barisan exco Pulau Pinang.

Adun Dato Keramat Jagdeep Singh Deo akan bertanggungjawab dalam portfolio pembangunan modal insan, sains dan teknologi. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Adun Dato Keramat Jagdeep Singh Deo dari DAP telah dinamakan sebagai timbalan ketua menteri II Pulau Pinang manakala Adun Batu Maung PKR, Mohamad Abdul Hamid, adalah timbalan ketua menteri I.

Jagdeep menggantikan P Ramasamy yang memegang jawatan itu selepas PRU12, tetapi digugurkan sebagai calon dalam PRN.

Jagdeep akan bertanggungjawab dalam portfolio pembangunan modal insan, sains dan teknologi, manakala Mohamad akan bertanggungjawab untuk pembangunan Islam, pendidikan dan perpaduan negara.

Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican dari Umno, yang dikhabarkan akan dinamakan sebagai timbalan ketua menteri, bukan sebahagian daripada exco.

Adun Sungai Acheh dari Barisan Nasional (BN), Rashidi Zinol, adalah wakil tunggal gabungan itu dalam exco, dan akan mengetuai jawatankuasa perdagangan dan pembangunan keusahawanan dan pembangunan luar bandar.

Barisan 11 exco yang terdiri daripada tujuh muka baharu itu terdiri daripada lapan wakil rakyat DAP, dua daripada PKR dan seorang daripada Umno.

Selain Jagdeep, dua lagi Exco daripada barisan terdahulu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang mengambil portfolio kewangan, ekonomi, tanah dan komunikasi, dan Adun Tanjong Bunga DAP Zairil Khir Johari yang mengetuai jawatankuasa infrastruktur, pengangkutan dan pembangunan digital.

Adun Paya Terubong DAP Wong Hon Wai, yang memegang portfolio pelancongan dan ekonomi kreatif, sebelum ini merupakan Exco dari 2008 hingga 2013.

Lima Exco kali pertama daripada DAP ialah Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim (pembangunan sosial, kebajikan, dan hal ehwal agama bukan Islam); Adun Jawi Jason H’ng (kerajaan tempatan, dan perancangan bandar dan desa); Adun Padang Lalang Daniel Gooi (belia, sukan, dan kesihatan); dan Adun Perai S Sundarajoo (jawatankuasa perumahan dan alam sekitar).

Fahmi Zainol, Adun Pantai Jerejak PKR, akan mengambil alih portfolio agroteknologi, keselamatan makanan dan pembangunan koperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.