
Ketua Polis Serdang, A A Anbalagan berkata kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan pada 1.30 tengah hari di sekitar Klang, susulan laporan polis dibuat seorang wanita di Puchong yang memaklumkan dua rakannya diculik lelaki tempatan ketika keluar berhibur.
Beliau berkata, pengadu menerima gambar menerusi aplikasi WeChat pada 10 Ogos lalu menunjukkan dua rakannya diikat dan ditutup mata, selain dia diminta membayar wang tebusan RM20,000 bagi membebaskan mereka.
“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengenali suspek ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Lembah Klang dan pernah mengambil nombor telefon suspek untuk simpanan.
“Susulan itu, polis melakukan operasi di sekitar Klang pada Jumaat lepas dan berjaya menahan dua suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Anbalagan berkata, kedua-dua suspek yang menganggur dan berasal dari Selangor masing-masing mempunyai dua serta tiga rekod jenayah.
Katanya, dua suspek itu juga mengaku melakukan kegiatan sama beberapa kali, selain turut dikehendaki polis daerah lain di Lembah Klang.
Beliau berkata, siasatan ke atas suspek yang direman sejak 11 Ogos hingga hari ini dilakukan di bawah Seksyen 365/385 Kanun Keseksaan kerana menculik.