Sudah ada sekolah khas golongan miskin, kata kumpulan ibu bapa

Sudah ada sekolah khas golongan miskin, kata kumpulan ibu bapa

Sekolah berasrama dan MRSM tersedia untuk pelajar miskin sejak berdekad-dekad.

Aktivis pendidikan, Noor Azimah Abdul Rahim percaya sistem pendidikan kebangsaan perlu bersifat inklusif dan murid miskin kekal dalam aliran utama.
PETALING JAYA:
Dua kumpulan ibu bapa tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan mewujudkan sekolah khas bagi murid miskin tegar kerana kemudahan seperti itu sudah ada.

Noor Azimah Abdul Rahim yang mengetuai Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) berkata, sekolah berasrama dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tersedia untuk pelajar miskin sejak berdekad-dekad lalu.

Katanya, 69 sekolah berasrama dan 59 MRSM di seluruh negara sudah mencukupi bagi menerima pelajar dari golongan itu.

“Malangnya, penguatkuasaannya tidak tegas kerana pelajar yang mendaftar di sekolah berkenaan bukan dari kumpulan miskin tegar.

“Jadi, pengambilan pelajarnya perlu disemak untuk memastikan tujuan utamanya, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti kepada masyarakat miskin, dapat dilaksanakan dengan lebih tegas,” katanya.

Beliau berkata, sesuatu yang boleh membawa perubahan adalah jika semua sekolah berasrama dan MRSM melaksanakan sepenuhnya Program Dwibahasa (DLP) untuk mata pelajaran tertentu diajar dalam bahasa Inggeris.

Katanya, pembinaan lebih banyak sekolah sedemikian merugikan jika Putrajaya yakin mampu membasmi kemiskinan menjelang akhir tahun ini seperti yang berulang kali dijanjikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Pembinaan lebih banyak sekolah seperti itu seolah-olah membayangkan kerajaan sama ada gagal membasmi kemiskinan tegar atau tidak berminat berbuat demikian,” katanya.

Awal bulan ini, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan akan memperkenalkan sekolah baharu untuk kanak-kanak dari keluarga miskin bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Kementerian Pendidikan bercadang mewujudkan sekolah itu tahun depan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana pelajar sepatutnya bercampur tanpa mengira bangsa dan latar belakang sosial.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap kesan psikologi negatif ke atas murid dari sekolah khas untuk golongan miskin.

Azimah dan Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin bersetuju dengan Annuar, serta berpendapat pelajar perlu didedahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk meluaskan pandangan mereka terhadap budaya, gaya hidup, nilai dan peluang sosioekonomi.

“Menganggap golongan paling miskin tidak dapat bergaul secara mental dan fizikal dalam sistem pendidikan aliran utama seperti memandang rendah terhadap mereka. Ia bukan idea baik.

“Sewajarnya inklusiviti menjadi perkara paling penting dalam pendidikan, bukannya memanjakan golongan miskin. Tiada siapa mahu dilabel B40 atau miskin,” kata Azimah.

Mak turut menyuarakan kebimbangan “pengasingan” pelajar miskin daripada yang lain akan membuatkan mereka berasa rendah diri dan membawa kepada kurang persaingan.

“Pendidikan berkualiti adalah untuk semua, bukan saja golongan miskin. Kenapa Kementerian Pendidikan tidak membaiki mekanisme sedia ada bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar memerlukan dan memberikan bantuan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.