SOP lombong REE akan diumum dalam masa terdekat, kata Sanusi

SOP lombong REE akan diumum dalam masa terdekat, kata Sanusi

SOP akan diumumkan oleh setiausaha kerajaan negeri selepas kertas cadangannya dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini, kata menteri besar Kedah itu.

MB Kedah Sanusi Md Nor meminta semua polemik berkaitan perlombongan REE yang didakwa haram itu dihentikan segera.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, SOP itu akan diumumkan oleh setiausaha kerajaan negeri selepas kertas cadangannya dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini, agar kegiatan itu dapat dijalankan di Kedah.

“Setiausaha kerajaan negeri akan umum tidak lama lagi berkaitan SOP (perlombongan REE) ini,” katanya kepada pemberita di Alor Setar, lapor Berita Harian.

Justeru, Sanusi meminta semua polemik berkaitan perlombongan REE yang didakwa haram itu dihentikan segera.

“REE tidak haram, yang curi sudah ditangkap tetapi kita ikut prosedur jadi tak haram. Ada 59 lombong haram REE di seluruh negara sila pergi siasat di negeri lain. Jangan tuju kat Kedah sahaja,” katanya.

Bulan lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 10 Exco Kedah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan perlombongan haram REE di negeri itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki minggu lepas berkata, pihaknya masih belum memanggil Sanusi kerana sedang memberi tumpuan kepada petunjuk baharu.

Isu perlombongan haram REE menjadi topik perdebatan hangat antara Sanusi dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelang PRN Sabtu lepas.

Terdahulu, Saifuddin mengaitkan menteri besar itu dengan dakwaan kecurian REE di negeri itu, dan Isnin lepas, dilaporkan Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap Saifuddin di Mahkamah Tinggi Alor Setar kerana mengaitkannya dengan kecurian tersebut, serta penyalahgunaan dana persekutuan yang diperuntukkan untuk projek penyelenggaraan jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.