
Menterinya Loke Siew Fook berkata inisiatif di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) itu yang dikendalikan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dilaksanakan di SBST Seremban, Ipoh dan Johor Bahru.
Katanya lebih 2,500 pengguna golongan sasar menerima manfaat subsidi kos perjalanan itu yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Selaras dengan konsep Ekonomi Madani, inisiatif SBST membantu menambah baik rangkaian pengangkutan awam dalam bandar, jaringan pertama dan terakhir di ketiga-tiga bandar raya terbabit selain mengurangkan kos sara hidup golongan sasar.
“Pelaksanaan tambang percuma kepada golongan sasar akan diperluaskan ke program SBST di negeri lain secara berperingkat,” katanya ketika melancarkan inisiatif tambang percuma ‘myBAS Konsesi’ dan tinjauan ke Terminal One Seremban.
Beliau berkata mereka yang berkelayakan boleh mendaftar di kaunter perkhidmatan myBAS dengan membawa dokumen pengenalan seperti MyKid, MyKad atau MyTentera dan tiada pendaftaran bagi kanak-kanak berumur enam tahun serta ke bawah.
Loke berkata perkhidmatan bas tersebut melibatkan keseluruhan 58 laluan iaitu di Seremban sebanyak 23 laluan, Johor Bahru (19) dan Ipoh (16).
Menurutnya kementerian juga akan membuka semula tender bagi pengendali myBas Konsensi berikutan kontraknya tamat pada hujung tahun ini selepas beroperasi selama tujuh tahun.
Sementara itu, mengenai perkhidmatan bas tidak mencukupi bagi perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur, Loke berkata masalah itu bukan kerana terdapat pihak yang memonopoli, tetapi disebabkan operator bas tidak beroperasi.
“Terdapat tujuh lesen pengendali antara perkhidmatan Seremban ke Kuala Lumpur, tetapi ada dua operator dan kadangkala hanya satu operator menjalankan perkhidmatan. Ini isu paling besar dihadapi rakyat Seremban yang berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan berbincang dengan operator bas bagi menangani isu tersebut selain bersedia menambah permit kepada operator.