Jakim pandang serius buku dorong kanak-kanak terpengaruh LGBT

Jakim pandang serius buku dorong kanak-kanak terpengaruh LGBT

Jabatan itu menerima aduan berkaitan video tular mengenai beberapa buku, namun tiada bahan seumpama itu di kedai tempatan, kata Ketua Pengarah Jakim Hakimah Mohd Yusoff.

Ibu bapa dinasihati memantau anak-anak supaya tidak membeli bahan bacaan yang mempunyai unsur negatif, kata Ketua Pengarah Jakim Hakimah Mohd Yusoff. (Gambar Freepik)
PUTRAJAYA:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius sebarang usaha mempromosi buku yang boleh mendorong anak-anak terpengaruh dengan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti dipaparkan dalam video tular baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata jabatan itu telah menerima aduan berkaitan video tular oleh Cordova Media mengenai beberapa buku yang didakwa mendorong anak-anak agar terpengaruh dengan LGBT dan penelitian mendapati ia diambil di luar negara.

“Walaupun tiada buku seperti dipaparkan dalam video tersebut di mana-mana kedai buku tempatan, namun Jakim mengambil serius terhadap sebarang usaha mempromosi buku berkenaan dalam kalangan masyarakat negara ini khususnya umat Islam.

“Kandungan buku-buku seumpama ini bukan sahaja mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia, malah melanggar sensitiviti agama, undang-undang serta budaya negara ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Jakim sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memantau sebarang terbitan bahan bercetak yang mempromosikan budaya LGBT, dan undang-undang Malaysia menetapkan kandungan buku seumpama itu melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral serta kepentingan awam.

Hakimah turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak supaya tidak membeli sebarang bahan bacaan yang mempunyai unsur negatif dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.