Hentikan spekulasi pelantikan MB Selangor, kata pegawai Amirudin

Hentikan spekulasi pelantikan MB Selangor, kata pegawai Amirudin

Terdahulu, FMT memetik sumber PKR melaporkan spekulasi Amirudin Shari tidak akan dilantik sebagai menteri besar Selangor bagi penggal kedua.

Pada PRN Sabtu lalu, PH-BN memenangi 34 kerusi manakala PN memperoleh 22 kerusi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pegawai kepada Amirudin Shari meminta pihak tertentu menghentikan permainan spekulasi pelantikan menteri besar Selangor.

Setiausaha akhbarnya Jay Jay Denis berkata spekulasi itu juga seolah-olah memberi tekanan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang baru kembali ke tanah air selepas menjalani rawatan di luar negara.

“Polemik sebegini berpotensi mencalar reputasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berkali-kali mengumumkan secara terbuka untuk mengekalkan Amirudin sebagai menteri besar, selain konsensus bersama parti dalam Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

“Pihak tertentu perlu menghentikan permainan nakal kerana ia berpotensi dilihat tidak sopan dan mencalarkan reputasi Istana Selangor serta perdana menteri sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, FMT melaporkan spekulasi Amirudin tidak akan dilantik sebagai menteri besar Selangor bagi penggal kedua selepas PH gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN baru-baru ini.

Seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan berkata, walaupun pengerusi PH Selangor itu, yang berjaya mempertahankan kerusi Sungai Tua, menunjukkan prestasi bagus sebagai menteri besar, beliau gagal mendapat sokongan pengundi Melayu.

PH memenangi 32 kerusi pada PRN di Selangor Sabtu lepas, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 22 kerusi. BN, sekutu PH dalam kerajaan persekutuan, hanya menang dua kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.