Serangan keterlaluan PH tingkat simpati untuk Azmin, kata KJ

Serangan keterlaluan PH tingkat simpati untuk Azmin, kata KJ

Bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata PH menggandakan usaha di Hulu Kelang dengan mengadakan kempen perdana termasuk menampilkan persembahan Siti Nurhaliza.

Azmin Ali berpindah dari kerusi asalnya di Bukit Antarabangsa untuk bertanding di Hulu Kelang pada PRN.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin berpendapat sentimen simpati mungkin antara faktor kemenangan Azmin Ali di Hulu Kelang pada PRN, akibat serangan berterusan Pakatan Harapan (PH) yang turut menampilkan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Taruddin dalam siri kempennya.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, sejak episod “Langkah Sheraton” pada 2020 yang menyaksikan Azmin keluar PKR, bekas menteri besar Selangor itu sering dilabel pengkhianat dan usaha membunuh kerjaya politiknya giat dilakukan.

“Tetapi beliau berubah (menjelang PRN) menjadi susuk tragis selepas semua orang menyerangnya, nak tamatkan riwayat politiknya di Hulu Kelang, itu sentimennya.

“Orang Melayu ini bila tekan sampai tahap itu, dia jadi susuk tragis dan dapat simpati,” katanya pada Podcast Keluar Sekejap edisi khas PRN dihoskan bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Beliau diminta mengulas soalan tetamu program Ong Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi sama ada kempen mega PH di Hulu Kelang memberi kesan kepada keputusan PRN di kawasan itu.

Ong berkata, kempen itu termasuk menampilkan persembahan Siti Nurhaliza dalam ceramah turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Tapak Pasar Malam Ukay Perdana pada 6 Ogos lalu.

Bagaimanapun, semakan mendapati kempen itu bawah DUN Bukit Antarabangsa terletak bersebelahan Hulu Kelang, kawasan berkenaan diwakili Azmin sebelum ini.

Pada PRN Sabtu lalu, Azmin kembali ke DUN Hulu Kelang yang pernah diwakilinya 24 tahun lalu apabila menang kerusi itu dengan majoriti 1,617 undi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu menewaskan pencabarnya Juwairiya Zulkifli daripada PH.

Azmin memperoleh 25,297 undi manakala Juwairiya mendapat 23,980 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.