Kendurkan beza pemikiran PN, PH-BN; nasihat mufti P Pinang

Kendurkan beza pemikiran PN, PH-BN; nasihat mufti P Pinang

PN diterajui PAS cenderung menegakkan Islam manakala PH-BN lebih inklusif kepada realiti masyarakat bilang kaum dan agama.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata menjadi tanggungjawab pimpinan politik, ahli akademik, dan pertubuhan dakwah membuka dimensi fikiran masyarakat awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertentangan dua pola pemikiran antara Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) harus dikendurkan selepas PRN berakhir, Sabtu lalu.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata keputusan PRN enam negeri jelas menggambarkan dua pola pemikiran berbeza telah mempengaruhi minda pengundi khususnya beragama Islam.

“Pola pemikiran itu menunjukkan PN khususnya PAS lebih cenderung dengan matlamat menegakkan Islam, manakala gabungan PH-BN pula dilihat lebih terbuka dan bersikap inklusif kepada realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ia susulan pengundi di Kelantan, Terengganu, dan Kedah menunjukkan kecenderungan memilih PN diterajui PAS dan Bersatu, selain Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang pula lebih memihak gabungan PH-BN.

“Ini susulan keyakinan beragama tidak sama sekali menghalang manusia mencapai kemajuan dan membina sebuah negara moden berasaskan sains dan teknologi.

“Sebaliknya, pembinaan kehidupan yang maju dan makmur adalah merupakan antara maksud peribadatan itu sendiri yang dituntut dalam Islam dan itulah ajaran asal Islam yang sebenarnya,” katanya.

Wan Salim berkata, malangnya masih ramai pada masa ini beranggapan kemajuan dan kemodenan seperti sesuatu bercanggah dengan kehidupan beragama.

Justeru beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak sama ada pimpinan politik, ahli akademik, dan pertubuhan dakwah membuka dimensi fikiran masyarakat awam.

Katanya, salah faham rakyat berhubung pertentangan antara pegangan teguh kepada agama dan usaha membangun masyarakat perlu disingkirkan.

“Masyarakat perlu diberi pencerahan secukupnya mengenai tujuan segala ajaran agama yang sebenar adalah untuk memandu manusia ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Kehidupan berpandukan agama yang sebenar akan membawa kepada kemajuan dan kebajikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.