Bukan urusan BNM periksa akaun individu, Zeti beritahu mahkamah

Bukan urusan BNM periksa akaun individu, Zeti beritahu mahkamah

Bekas gabenor bank pusat itu berkata, kewajipan menyemak aliran masuk dana terletak pada institusi perbankan.

Bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz berkata, Najib Razak tidak mempersoalkan sumber dana yang masuk ke dalam empat akaun AmBank miliknya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi pada perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa bukan urusan bank pusat “memantau” mana-mana akaun bank di negara ini.

Beliau berkata, tanggungjawab melaksanakan usaha wajar mengenai keabsahan dana dimasukkan ke akaun pelanggan terletak pada institusi kewangan atau bank, dan ini diamalkan di seluruh dunia.

“(Bank-bank) dikehendaki membuat laporan transaksi mencurigakan (STR) dalam tempoh tiga hari selepas mereka mengenal pasti kegiatan (sedemikian) dalam akaun,” katanya.

“BNM kemudiannya akan memaklumkan pihak berkuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau polis. Kami tidak boleh memaklumkan kepada orang lain, termasuk pemegang akaun.”

Beliau berkata, jika bank gagal memfailkan STR berhubung sebarang kegiatan luar aturan, bank pusat akan mengenakan penalti terhadapnya.

Zeti juga berkata, pegawai BNM melakukan serbuan di AmBank pada 6 Julai 2015 dan mendapati bahawa bank itu gagal melaporkan beberapa transaksi dana membabitkan akaun Najib.

“Mereka dengan salah melaporkan bahawa dana masuk ke ‘satu akaun’ apabila ia membabitkan akaun Datuk Seri (Najib),” katanya.

Pada 2015, dilaporkan bahawa AmBank membayar penalti RM53.7 juta kepada BNM atas ketidakpatuhan terhadap peraturan tertentu.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar bertanya kepada Zeti sama ada Najib ada mempersoalkan sumber dana yang masuk ke dalam empat akaunnya.

“Beliau tidak (mempersoalkannya),” kata Zeti.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana didakwa milik 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.