
Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata parti memerlukan naratif baharu yang tidak membuatkan rakyat meluat dengan Umno.
“Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen,” katanya di Facebook.
Umno mencatatkan prestasi memalukan apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, sehingga wujud suara menasihatkan Presiden Zahid Hamidi yang berdepan kes mahkamah berundur.
Pada PRN enam negeri, BN hanya menang dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua); Kelantan (Galas), dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh), sementara Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin “rebah” di Gombak Setia.
Di Terengganu, semua calonnya tewas termasuk dua bekas menteri besar Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman.
Namun, BN Negeri Sembilan mencatat keputusan baik apabila menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi, menyumbang kemenangan majoriti dua pertiga bersama Pakatan Harapan (PH).
Pada PRU15, Umno bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.
Puad menambah keputusan getir itu menunjukkan Umno semakin hilang sokongan orang Melayu.
Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak dalam Umno tidak gopoh untuk meninggalkan kerajaan perpaduan, sebaliknya fokus kepada agenda ekonomi dan rakyat.
“Bukan mudah untuk Umno mencari formula baharu. Menteri Umno mesti ‘deliver’. Elak rakyat meluat pada tingkah laku Umno,” katanya.