Negeri Sembilan umum cuti peristiwa esok

Negeri Sembilan umum cuti peristiwa esok

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata cuti itu susulan kemenangan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam PRN semalam.

Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (kiri) meraikan kemenangan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Seremban, malam tadi. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengumumkan cuti peristiwa esok susulan kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN semalam.

Beliau membuat pengumuman itu pada sidang media meraikan kemenangan calon dua gabungan itu yang berjaya memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga, malam tadi.

“Saya nak umumkan bahawa hari Isnin adalah cuti peristiwa bagi Negeri Sembilan. Saya harap kita berehat sehari dua, selepas itu kita buat kerja dan pastikan kita bantu rakyat Negeri Sembilan ini,” katanya menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, pengerusi PH Negeri Sembilan itu menyifatkan kemenangan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama BN adalah kenangan indah memandangkan dua gabungan itu adalah pesaing sebelum ini.

Katanya, mereka juga tidak pernah terfikir untuk bekerja dalam satu pasukan namun ia adalah satu kemenangan yang diharapkan.

“Saya yakin bahawa selepas ini masyarakat di luar sana akan melihat ini adalah pasukan terbaik yang pastinya akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Mengenai kekalahan di lima kerusi, beliau berkata ia adalah satu perkara yang tidak dijangkakan.

“Mungkin ada beberapa perkara yang harus kita buat bedah siasat selepas ini. Kenapa kekalahan ini berlaku dan bagaimana perkara ini harus kita atasi serta bagaimana penyampaian maklumat kepada mereka,” kata Adun Sikamat itu.

Berhubung soal menteri besar, Aminuddin berkata ia belum dibincangkan dan keputusan akan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sebelum ini pernah mengumumkan beliau akan dicalonkan semula.

“Kita belum bincang tetapi setakat ini itulah keputusan daripada perdana menteri, saya rasa tak ada masalah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.