Kerajaan lancar tuisyen percuma, tumpu calon SPM lemah 6 subjek teras

Kerajaan lancar tuisyen percuma, tumpu calon SPM lemah 6 subjek teras

Pusat tuisyen itu juga menyediakan bantuan makanan demi memastikan pelajar dapat hadiri kelas dengan selesa dan fokus.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkesempatan melancarkan pusat tuisyen percuma di Taman Sri Serdang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional melaksanakan tuisyen percuma kepada pelajar kurang berkemampuan melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Pusat Tuisyen KAMI yang digerakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) itu, turut menyediakan pendidikan tambahan buat pelajar berprestasi sederhana serta lemah dalam enam mata pelajaran teras.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan, memaklumkan inisiatif itu juga bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik, memenuhi tanggungjawab sosial kementerian itu kepada masyarakat dan merealisasikan aspirasi kerajaan untuk ‘Memperkasa Rakyat’ melalui pendidikan berkualiti.

Kenyataan itu juga menyebut program berkenaan juga akan dilaksanakan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang menyasarkan komuniti pedalaman, asnaf, dan golongan B40.

“Program ini memberi fokus kepada enam mata pelajaran teras bagi SPM iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah, dan pendidikan Islam.

“Ia dilaksanakan selama satu tahun. Pada enam bulan pertama, kelas tuisyen akan dijalankan berserta pemantauan akademik, bengkel pembangunan modal insan atau pemupukan dan pembangunan. Seterusnya, Jejak Lepasan SPM akan dibuat selama enam bulan untuk memantau hala tuju pelajar dan keberhasilan program,” katanya memetik Bernama.

Hari ini, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkesempatan melancarkan pusat tuisyen itu di Taman Sri Serdang.

Dalam pada itu, inisiatif berkenaan turut menyediakan bantuan makanan sepanjang tuisyen itu bagi memastikan pelajar dapat menghadiri kelas dengan selesa dan fokus tanpa perlu berulang-alik ke rumah yang akan meningkatkan kos perbelanjaan logistik mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.