‘Hilang akar umbi kita mati’, Isham desak tindakan segera atau Umno pupus

‘Hilang akar umbi kita mati’, Isham desak tindakan segera atau Umno pupus

Ahli MKT Isham Jalil berkata Umno perlu mempertimbangkan semula kerjasama dengan PH-DAP jika mahu menyelamatkan parti.

Keputusan PRN semalam menyaksikan Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandinginya.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mendesak kepimpinan tertinggi membuat pertimbangan drastik khususnya kerjasama dengan DAP, selepas keputusan buruk direkodkan parti itu pada PRN semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil, berkata kerjasama dengan DAP menyebabkan akar umbi Umno yang sensitif terhadap parti itu kecewa dan marah, sehingga wujudnya kelompok enggan keluar mengundi dan menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai undi protes.

Katanya, kepimpinan parti perlu mempertimbangkan untuk hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan, namun tidak melalui gelanggang pilihan raya.

“Kita mungkin boleh membina semula parti dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar namun dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat,” katanya di Facebook.

Keputusan PRN semalam menyaksikan Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandinginya.

Isham berkata, jika pemimpin atasan enggan mendengar suara akar umbi, tidak mustahil Umno akan terus kalah pada pilihan raya akan datang dan pupus daripada landskap politik negara.

“Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

“Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya,” katanya.

Menyentuh gesaan akar umbi supaya Presiden Umno Zahid Hamidi berundur, beliau berkata timbalan perdana menteri itu perlu segera berjumpa mereka untuk memperbaiki dan menjernihkan keadaan.

“Saya bukan orang presiden, namun saya hormat institusi itu,” katanya.

Sementara itu, bekas pengerusi Umno Terengganu Idris Jusoh pula mendesak Zahid berundur susulan prestasi buruk parti itu termasuk kalah di semua kerusi yang ditandingi di negeri itu.

“Umno kalah teruk di PRN semalam. Umno kalah 100% di Terengganu. Zahid Hamidi perlu letak jawatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.