Anggap PRN tak penting, faktor keluar mengundi ‘perlahan’, kata penganalisis

Anggap PRN tak penting, faktor keluar mengundi ‘perlahan’, kata penganalisis

Mujibu Muis daripada Ilham Centre berkata trend itu sudah dijangka berdasarkan tinjauan sepanjang kempen 14 hari yang kelihatan 'suram dan sejuk'.

Menurut kemas kini Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), Negeri Sembilan merekodkan 62%, Selangor (65%), Pulau Pinang (67%), Kedah (68%), dan Terengganu (70%).
PETALING JAYA:
Penganalisis menjangkakan peratusan keluar mengundi PRN enam negeri tidak akan melepasi 70% selepas pusat pengundian ditutup 6 petang ini.

Mujibu Muis, penyelidik daripada Ilham Centre berkata peratusan trend undian “perlahan” itu sudah dijangka berdasarkan tinjauan sepanjang kempen 14 hari lalu yang kelihatan “suram dan sejuk” berbanding kehangatan PRU15.

Katanya, corak pengundian di enam negeri sama seperti PRN Johor dan Melaka tahun lalu, masing-masing mencatatkan 55% dan 65%.

“Inilah kebarangkalian (peratus keluar mengundi rendah) bila tak sekali, mereka rasakan pilihan raya negeri tidak begitu penting, lebih-lebih lagi anak muda yang merantau,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, trend itu dapat dilihat di Kelantan, apabila hanya 56% pengundi keluar mengundi setakat jam 4 petang tadi sementara lima negeri lain sudah melepasi 60% hingga 70%.

Menurut kemas kini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Terengganu merekodkan 70% diikuti Kedah (68%), Pulau Pinang (67%), Selangor (65%), Negeri Sembilan (62%) dan Kelantan (56%).

“Pengundi di Kelantan yang merantau, mereka tidak begitu teruja pulang mengundi kerana merasakan sudah cukup selesa dengan kemenangan besar PAS pada PRU15,” kata Mujibu.

Ditanya gabungan mana yang memperoleh kelebihan berdasarkan corak undian semasa, beliau berkata Perikatan Nasional (PN) dilihat mampu meraih manfaat sekiranya peratusan undi rendah itu majoritinya dari kelompok orang muda.

Sementara blok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) akan berada di depan sekiranya undi kaum bukan Melayu tinggi, atau menyamai undi masyarakat Melayu, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terlalu awal untuk menjangkakan gabungan mana berada di depan khususnya di Kelantan sekiranya peratusan undi kekal rendah.

“Selagi mana kita tak tahu siapa keluar mengundi, kita tak boleh nak rumuskan (siapa raih kemenangan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.