Pengundi tak dibenar mengundi, dakwa identiti dicuri

Pengundi tak dibenar mengundi, dakwa identiti dicuri

Tiga pengundi mendakwa mereka tidak dibenarkan mengundi di pusat undi kerana dikatakan sudah berbuat demikian.

Dilaporkan berlaku beberapa kejadian di Pulau Pinang dan Kedah, pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana dikatakan telah berbuat demikian.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hari ini semata-mata untuk mengundi pada PRN terkejut dan kecewa selepas dimaklumkan beliau “sudah mengundi”.

Lelaki berusia 46 tahun itu tiba di SK Jelutong kira-kira 11.30 pagi untuk mengundi bagi DUN Batu Lanchang, namun diberitahu seseorang sudah mengundi atas namanya, lapor Sin Chew Daily.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu, Ong Ah Teong, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati nama lelaki itu telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran pengundi, yang bermakna seseorang mungkin telah mencuri identitinya dan mengundi dengan MyKad palsu sebelum ini.

“Saya gesa lelaki itu buat laporan polis. Beliau beritahu saya, beliau rasa kecewa dan marah,” kata calon DAP itu.

Ong mendakwa, beliau kemudiannya dimaklumkan bahawa kejadian sama berlaku di pusat undi sama pada kira-kira 2 petang, membabitkan seorang wanita berusia 31 tahun.

Sementara itu, seorang wanita di Kedah membuat laporan polis selepas diberitahu beliau sudah mengundi di pusat undi, lapor Sinar Harian.

Rozana Mokhtar, 35, yang ingin mengundi buat kali pertama di Kedah, berkata beliau tidak dibenarkan mengundi di SK Taman Mahsuri, Padang Serai, kerana namanya sudah dipotong.

Rozana sebelum ini berdaftar sebagai pengundi di Gunung Semanggol, Perak

“Apabila saya bagi, (petugas) terkejut dan maklumkan bahawa nama saya telah ditanda. Ada orang yang guna kad pengenalan saya untuk buang undi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.