Mungkin ada provokasi, Ayob ulas insiden polis ‘kasari’ penyokong parti

Mungkin ada provokasi, Ayob ulas insiden polis ‘kasari’ penyokong parti

Timbalan ketua polis negara berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Tular video melibatkan seorang penunggang motosikal dikasari di pintu masuk sebuah IPD terletak di Pantai Timur.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan berlaku insiden “kasar” anggota terhadap seorang penyokong parti di sebuah IPD di Pantai Timur seperti tular di media sosial, sejak awal pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

“Video itu hanya ada bahagian tertentu sahaja. Mungkin ada provokasi dan sebagainya yang berlaku sebelum bahagian itu.

“Siasatan sedang dijalankan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat mengundi SK Klang Gate.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu bermotosikal “ditarik” dari motosikalnya dipercayai oleh seorang anggota.

Sambil itu, beliau menyeru penyokong parti supaya tidak melakukan sebarang tindakan provokasi jika berlaku peralihan kuasa dalam PRN kali ini.

“Para penyokong terlibat dalam PRN enam negeri ini berfikir secara rasional dan jangan mengikut emosi. Kalau ada sebarang perlanggaran undang-undang, pasti kita ambil tindakan tanpa memihak kepada mana-mana parti.

“Kita sudah melalui pelbagai pilihan raya dan telah pun matang. Jadi jangan lakukan provokasi. Serah kepada polis dalam mengawal ketenteraman negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.