
1thirdmedia Movement, antara gerakan yang bekerjasama dengan Undi18, berjaya mengutip undi pos daripada pengundi Malaysia yang bekerja dan menetap di republik itu sejak 5 Ogos lepas.
Pasukan itu melakukan perkara yang sama semasa PRN Johor dan PRU15.
Seorang sukarelawan, Farrah Diyana Mohamad Ali berkata, mereka menggunakan strategi sama dengan mewujudkan lima zon pengumpulan meliputi kawasan tengah, timur, barat, utara dan selatan republik itu.
“Terdapat dua penghantaran ke pusat penyisihan di Kuala Lumpur kali ini melalui pengangkutan darat dan udara,” kata Farrah Diyana.
“Penghantaran pertama dilakukan pada 9 Ogos dengan jumlah kutipan 1,494 undi, dan yang kedua pada hari ini menerusi penerbangan yang ditaja Malaysia Airlines,” katanya.
Sementara itu, Undi18 di Twitter menyatakan sehingga 10.30 malam 10 Ogos, jumlah semasa undi pos yang berjaya dikumpul sebanyak 2,171, meliputi 27.2% daripada keseluruhan 7,972 pengundi pos luar negara Kategori 1B (rakyat Malaysia yang menetap di luar negara).
Tarikh akhir kertas undi pos diterima oleh pegawai pengurus pilihan raya ialah pada hari pengundian 12 Ogos, sebelum 5 petang.
Pada PRU15, inisiatif “VoteMalaysia berjaya membawa pulang lebih 35,000 sampul undi dari seluruh dunia, meliputi 73% daripada keseluruhan sampul undi pos bagi kategori 1B.
Pada Sabtu, kira-kira 9.67 juta pengundi akan menentukan masa depan enam negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.