Rakan kongsi boleh wakili Thomas dalam saman Najib, kata mahkamah

Rakan kongsi boleh wakili Thomas dalam saman Najib, kata mahkamah

Mahkamah Rayuan berkata, permohonan Najib Razak untuk melucutkan kelayakan peguam Alan Gomez dan Lai Wei Shiung tiada merit.

Tommy Thomas didakwa menyalahgunakan kuasa dalam jawatan awam oleh Najib Razak.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan memutuskan dua peguam boleh mewakili bekas peguam negara, Tommy Thomas dalam saman misfeasans (salah guna kuasa) jawatan awam yang difailkan Najib Razak terhadapnya.

Hakim Hanipah Farikullah hari ini memutuskan permohonan Najib untuk melucutkan kelayakan Alan Gomez dan Lai Wei Shiung tiada merit.

“Kedua-dua peguam akan dapat mengekalkan profesionalisme mereka dan bertindak demi kepentingan keadilan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Azimah Omar dan Azhahari Kamal Ramli.

Najib berhujah Gomez dan Lai tidak boleh mewakili Thomas dalam saman itu kerana peguam dalam firma guaman tidak patut mewakili rakan kongsi, perunding dan rakan peguam mereka kerana mereka “tidak boleh bertindak secara objektif demi kepentingan keadilan”.

Beliau memohon untuk melucutkan kelayakan mereka di depan Mahkamah Tinggi tahun lepas, tetapi permohonan itu ditolak Hakim Ahmad Bache yang berkata, pihak litigasi berhak mendapatkan peguam pilihannya.

Dalam samannya, Najib mendakwa tuduhan berkaitan 1MDB terhadapnya yang dikemukakan ketika Thomas menjadi peguam negara “sebahagian daripada tindakan telah lama dirancang dan dirangka awal”. Beliau menuntut ganti rugi RM1.94 juta.

Thomas dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018, selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14 dan membentuk kerajaan, dengan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menjadi perdana menteri.

Dia meletak jawatan pada Februari 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.