
PN yang bergantung kepada sentimen Melayu Islam dan populariti Sanusi mendakwa mampu menang 33 daripada 36 kerusi, manakala lawannya PH-BN menyasarkan menguasai 19 kerusi, majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di Darul Aman itu.
Sumber PN berkata keyakinan itu juga berdasarkan kemenangan besar pada PRU15 dengan menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen, menyaksikan PH hanya menang satu kerusi di Parlimen Sungai Petani.
Namun PN tidak boleh terlalu selesa, ini kerana penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berpendapat aura Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin boleh meningkatkan potensi PH-BN menang.
“Kita tengok aura perdana menteri nampak ketara dan dapat sambutan hebat termasuk di Kedah, ribuan hadir di Sik.
“Peluang BN-PH menang 50-50 kalau menang kelebihan satu dua kerusi, tetapi saya meletakkan PN lebih tinggi,” katanya yang tidak menolak isu REE dan kontroversi membabitkan Sanusi akan menjejaskan sokongan PN di kalangan pengundi atas pagar.
Turut senada dengannya penganalisis dari Universiti Utara Malaysia Rusdi Omar yang meletakkan peluang BN-PH menang 50-50, namun peratusan itu boleh meningkat jika gabungan itu dapat mengukuhkan sokongan terutama mengekalkan pengundi putih menjelang PRN Sabtu ini.
“Kalau kerjasama PH dan BN betul-betul mantap dalam akhir kempen, tak mustahil kemenangan berpihak pada mereka namun mungkin hanya sekadar majoriti mudah sahaja.
“Malam ini penentu kepada keputusan PRN Kedah kerana kempen grand finale kerajaan perpaduan turut membabitkan Anwar, kita boleh lihat kalau Kedah masih bersama PAS atau sebaliknya,” katanya.
FMT difahamkan antara kerusi boleh dimenangi PH-BN adalah di Bakar Arang, Kota Darul Aman, Sidam dan Kulim selain 50-50 di Derga, Pedu, Kota Siputeh, Bukit Selambau, Lunas dan Alor Mengkudu.
Namun satu halangan mungkin menghalang kemenangan calon BN adalah faktor penolakan ahli Umno terhadap kerjasama dengan DAP, ada yang bercadang mengundi PN atau tidak keluar mengundi sebagai tanda boikot.
“Saya sayang kepada Umno, tetapi lepas kerjasama dengan DAP saya tak boleh menerimanya, jadi PRN kali ini saya mungkin tak mengundi atau sokong PN,” kata Nasir Abdul yang menjadi ahli Umno lebih 30 tahun.