PH-BN yakin sapu bersih NS, PN mahu cipta kejutan

PH-BN yakin sapu bersih NS, PN mahu cipta kejutan

Tiada isu besar dibangkitkan di Negeri Sembilan yang kempennya berjalan tenang.

Mohamad Hasan, Loke Siew Fook dan Aminuddin Harun dijangka tiada masalah menang PRN esok.
SEREMBAN:
Ketenangan kempen PRN Negeri Sembilan tanpa ada isu hangat mungkin memberi petanda kemenangan besar gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), namun Perikatan Nasional (PN) optimis mencipta kejutan.

Berpegang keputusan menyapu bersih lapan kerusi Parlimen pada PRU15, PH-BN menyasarkan kemenangan di semua 36 DUN termasuk pemimpin utamanya dijangka mengekalkan kerusi masing-masing.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dijangka mempertahankan DUN Rantau, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook (Chennah) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun (Sikamat).

Di kem PN Negeri Sembilan pula, mereka mahu mencipta kejutan dengan Timbalan Pengerusinya Rafiei Mustapha yakin gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan menawan 19 kerusi berdasarkan sokongan pengundi yang didakwa condong kepadanya.

Jumlah itu termasuk di 10 kerusi tumpuan iaitu DUN Bagan Pinang, Linggi, Ampangan, Lenggeng, Klawang, Jeram Padang, Juasseh, Seri Menanti, Pilah dan Labu.

Mengulas keyakinan PN itu, Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias yang bertanding di DUN Pertang berkata: “Kita tunggu dan lihat keputusan pengundi esok.”

Penganalisis politik, Noor Nirwandy Mat Noordin, berpendapat parti gabungan kerajaan perpaduan dilihat tiada masalah mendapat majoriti dua pertiga, hasil kestabilan politik dan perkembangan ekonomi bawah pentadbiran Aminuddin.

Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata bersandarkan keputusan 2018 dan PRU15, tidak mustahil gabungan PH-BN menyapu bersih semua kerusi di Negeri Sembilan.

Beliau turut meramalkan pertandingan sengit di DUN Jeram Padang memandangkan 40% pengundi adalah masyarakat India yang mungkin menjejaskan BN yang tidak meletakkan calon MIC susulan pendiriannya tidak bertanding.

Di kerusi itu, PN menampilkan S Surash manakala BN diwakili pemimpin Umno Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.