
PETALING JAYA: Sebuah agensi perkhidmatan penyelamat kecemasan menyediakan pakej “Jom Balik Mengundi” menggunakan ambulans bagi membawa individu kurang berkeupayaan atau terlantar pulang mengundi esok.
Healthline Ambulance yang berpusat di Seri Iskandar, Perak, dengan dua cawangan di Teluk Intan serta Manjung, berkata pesakit akan dibawa ke pusat pengundian dan dijaga anggota paramedik sepanjang proses itu.
“Selesai proses pengundian, kami akan bawa orang yang anda sayangi pulang ke pangkuan anda,” katanya menurut Sinar Harian.
Sepanjang musim PRN, Healthline Ambulance turut menawarkan diskaun 20% untuk pemindahan pesakit antara negeri.
PRN akan diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan esok. PRK Kuala Terengganu turut diadakan serentak.